Friday, 13 November 2009

Gelodak jiwa atau nafsu?

Lusa genap sebulan aku terpisah dan 'berpisah' dengan isteri-isteri. 12 anak dalam jagaan aku dengan Abang dan Kakak-kakak yang lebih tua menjadi pembantu utama. Aku cuba menyelami dan kini merasai tekanan menjaga anak-anak. Tetapi rezeki masih jauh lebih baik berbanding sesetengah mereka yang senasib dengan aku. Kenapa?

Aku masih Tuhan rezekikan dengan berbagai keperluan, kemudahan dan kelapangan. Sungguh aku malu dengan Mu Tuhan! Aku yang serba lemah, lalai dan sering berdosa masih Engkau berikan peluang, ruang dan kesempatan hidup yang selesa malah boleh  dianggap mewah jika dibandingkan dengan sesetengah kawan-kawan seperjuangan.

Oh Tuhan! Apakah Engkau telah sediakan aku azab yang amat pedih sebagai balasan kelalaian dan kedegilan aku?

Tolonglah aku Tuhan. Aku terlalu lemah, hina, lalai dan selalu sahaja berbuat dosa selain berterusan dengan mazmumah yang bersarang dalam hati. Aku tidak mampu melainkan Engkau mampukan aku untuk bermujahadah.

Nafsu dan perasaanku sentiasa diruntun agar menderhakai Mu, Tuhan. Kasihankanlah aku Tuhan. Aku sangat berharap dengan pertolongan dan rahmat Mu. Ya Allah! Berkat Nabi Mu, berkat Imamul Mahdi Al Muntazar dan Putra Bani Tamim mursyidku, Engkau selamatkanlah aku, Tuhan.

Tuhan! Engkau tahu bahawa jiwa dan nafsuku sentiasa bergelodak dan bergejolak.

Tuesday, 29 September 2009

Didikan dalam Arqam

Al Arqam memang terkenal dengan sistem pendidikannya yang tersendiri. Pendidikan formal mau pun yang tidak formal. Secara formal Al Arqam pernah mempunyai lebih 10 ribu pelajar seluruh negara termasuk lebih 200 orangnya yang dihantar dan ditaja belajar ke beberapa negara luar terutamanya di negara-negara Timur Tengah.

Sistem pendidikan Al Arqam secara formal juga bermula dari peringkat tadika/taska hinggalah peringkat jamiah atau universiti. Kurikulum bersepadu yang menjadi amalan kebanyakan penganjur pendidikan swasta  masa kini dipercayai dipelopori oleh Al Arqam. Sistem pondok yang diubahsuai dengan sistem persekolah berasrama moden menjadikan pendidikan formal Al Arqam tersendiri dan kontemporari pada masa itu. Secara ringkasnya sistem pendidikan Al Arqam sangat tersendiri, tidak ke Timur dan tidak ke Barat. Ertinya tidak meniru atau mencedok dari mana-mana sistem pada masa tersebut melainkan lahir secara tersenidri melalui idea dan inisatif pengasas serta pemimpin nombor satu iaitu Ustaz Ashaari Muhammad.

Sementara pendidikan tidak formal meliputi semua ahli sepenuh masa, ahli separuh masa dan ahli simpati. Pendekatan pendidikan tidak formal berbagai-bagai sesuai dengan tahap kefahaman dan keyakinan ahli atau individu yang menunjukkan komitmen kepada jamaah dan perjuangan Al Arqam. Bermula ceramah umum, kuliah fardhu ain, usrah umum, usrah gabungan, usrah dan tarbiah khusus. Diberi tanggungjawab dan ditagih pengorbanan atau sumbangan merupakan permulaan pengiktirafan sebagai ahli komited.

Penilaian terhadap komitmen belajar, kesungguhan memahami, mengamal dan menghayati Islam sebagai satu cara hidup, taat, patuh dan setia dalam perjuangan, berlumba-lumba dalam pengorbanan, kesungguhan membina dan menjaga kasih sayang dan perpaduan adalah peringkat-peringkat yang mesti dilalui atau syarat yang mesti dipenuhi untuk layak menjadi seorang pejuang.

Antara contoh kaedah Abuya mendidik ahli jamaah adalah dengan melantik seseorang itu menjadi pemimpin tetapi pada masa yang lain beliau diturunkan adakalanya sampai digantung keahliannya. Sekiranya ada pun kesalahan atau kesilapan yang dilakukan bukanlah alasan atau perkiraan penting untuk hukuman tersebut tetapi itu semua hanyalah sebagai asbab sahaja untuk membolehkan berlakunya satu tarbiah lahiriah, maknawiyah dan rohaniah. Hukuman atau lebih tepat lagi tarbiah yang Abuya lakukan seumpama itu adalah hasil daripada penilaian masalah  lahiriah dan juga merupakan rumusan 'pandangan batiniah' terhadap individu berkenaan.

Kaedah ini tidak berlaku dalam mana-mana gerakan Islam yang pemimpinnya naik hasil daripada dipilih secara undi  oleh anak buah. Kaedah ini hanya mampu dilakukan oleh pemimpin yang memimpin kerana kepimpinanya diterima dari hati bukan hasil dilobi-lobi untuk meraih undi.

Abuya berjaya memimpin kerana pengikutnya memberikan sepenuh hati dalam ketaatan dan kesetiaan. Ketaatan dan kesetian pengikut Abuya adalah kerana Abuya merupakan suri tauladan dalam semua aspek kehidupan, perjuangan dan pengorbanan. Kekuatan minda, kepimpinan dan peribadi Abuya sebagai suri tauladan adalah faktor utama pendidikan dalam Arqam.

Wednesday, 23 September 2009

Raya zaman Arqam

Masa zaman Arqam kami beraya sangat ala kadar tetapi meriah. Walau pun terlalu ala kadar dari semua sudut namun tidak pula merasa tertekan, terhimpit, malu dan merasa hina diri dengan keluarga dan masayarakat. Sebaliknya kami rasa lebih bertuah dan berbangga dengan keadaan dan cara masayarakat Aram menyambut hari raya.

Inilah antara keunikan berteraskan satu kekuatan luar biasa dicetuskan oleh pemimpin yang luar biasa.

Biasanya kami tidak langsung memikirkan soal persalinan sempena hari raya. Langsir, perabot, tikar, pinggan mangkuk, kereta atau mengecat rumah semata-mata untuk hari raya jauh sekali. Duit belanja hari raya kalau dapat RM50 sudah sangat besar. Bukan duit raya, tapi duit bajet untuk berhari raya! RM50 dirasakan boelh dapat macam-macam. Itulah hebatnya masa tu.

Biasanya kami tidak pulang ke kampung atau ziarah keluarga terlebih dahulu tetapi mesti atau menjadi program utama bersolat hari raya bersama-sama di mana-mana pusat atau tempat yang telah ditetapkan. Bagi kawasan taman yang ada markas, perkarangan atau halaman rumah sewa tersebut biasanya akan dibentang tikar untuk membolehkan ahli jemaah bersolat hari raya bersama. Selepas solat sunat, khutbah hari raya menjadi fokus utama.

Khutbah yang selalunya adalah teks daripada Abuya akan dibacakan penuh bersemangat, bertenaga, segar dan sangat memberi kesan kepada para hadirin. Selepas khutbah semua para jemaah akan bersalaman, berpelukan antara satu sama lain sambil bermaafan-maafan dengan penuh keinsafan. Masa nilah terjadinya tangisan kesyukuran dan air mata persahabatan berguguran sempena meraikan hari yang diharapkan merupakan hari kemenangan.

Acara pada malam sebelumnya kebanyakan tempat mengadakan majlis takbir ke rumah-rumah ahli dan akhirnya berkumpul di markas dengan aktiviti memasak dan membakar lemang. Itulah sedikit antara kenangan raya zaman Arqam.

Tiada pembaziran, tiada kemewahan, tiada kemegahan dan tiada perlumbaan. Namun kemeriahan dan kegembiraan tetap terbayang pada wajah-wajah yang rata-ratanya tiada berwang! 

Tuesday, 15 September 2009

Monolog

Diriku

Aku terlalu lemah. Lemah bermujahadah, lemah beribadah, lemah berjuang dan lemah berkorban. Tahu tapi macam tidak tahu. Mahu tapi macam tak mahu. Kenapa ni? Kadang-kadang aku bosan dengan engkau. Engkau suruh aku berjuang, sedangkan engkau yang mengahalang dan melengah-lengahkan aku dari terjun ke medan juang! Kenapa engkau ajak aku mujahadah tapi engkau sendiri membiarkan aku dibuai cinta dunia?

Apakah engkau mau menyesal setelah berhadapan dengan Tuhan Rabul Jalil di Akhirat kelak? Waktu itu engkau dan aku sama tidak berdaya. Aku dan engkau akan terkejut dan menyesal. Engkau dan aku tidak mampu untuk menyalahkan antara satu sama lain. Aku dan engkau sama-sama bersalah, sama-sama berdosa dan sama-sama menunggu untuk terjun ke neraka.

Oh aku, kenapa aku begini lemah. Engkau sedarlah wahai aku!

Isteri

Isteri-isteriku selalu berbuat baik. Kadang-kadang aku malu dan menyesal. Tapi aku sedar mereka perlukan pimpinan. Kenapa aku gagal pimpin mereka. Mereka perlukan pemimpin yang dipimpin. Pemimpin yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang terpimpin. Adakah aku termasuk orang yang dipimpin oleh pemimpin yang terpimpin?

Anak-anak

Aku bangga mempunyai anak yang ramai dan paling berbangga jika mereka berbangga dengan aku sebagai ayahnya. Ya, ayah yang menjadi ketua keluarga dan tentunya menjadi mentor kepada kehidupan mereka. Mereka adalah cermin diri aku. Jika mereka nakal, jahat, lalai, kasar, pemalas, membuang masa, pemarah, bengis, tidak bermoral, tidak bersungguh-sungguh dan macam-macam kerenah itulah bayangan diriku. Oh Tuhan kenapa aku mudah lupa dan kecewa dengan kerenah anak-anak?

Akulah yang mencorak mereka sehingga aku sendiri merasa loya dengannya. Aku loya terhadap diriku sendiri. Kenapa aku tidak membaiki diriku terlebih dahulu?

Kawan-kawan

Kadang-kadang aku seperti tiada kawan. Tiada kesetiaan. Kenapa? Kerana itu adalah balasan sikapku terhadap kawan-kawan. Aku minta kesetiaan mereka, sedangkan aku tidak memberikan kesetiaan kepada mereka. Apakah aku patut kecewa terhadap mereka lebih daripada kecewa pada diri aku sendiri?

Pemimpin

Mereka penyuluh dan pemandu jalan dalam perjuangan. Mereka lebih dahulu menempuh sebelum aku tempuh jalan yang penuh berliku. Kenapa aku selalu persoalkan sikap mereka semasa mereka memandu aku?

Patutlah aku sering kehilangan panduan dalam perjalanan kerana pemandu aku pun bosan dengan sikap aku yang selalu mempersoalkan bagaimana mereka memandu aku. Jika aku tersesat wajarkah aku salahkan mereka?

Mursyid

Aku wajib bersandar dengan mu mursyid. Aku cuba untuk tidak mengkhianati mursyid, keluarga dan orang kepercayaannya. Aku mahu menghormati dan menyanjungi mereka semua. Tapi aku tidak terdaya. Aku kerap gagal untuk beradab dengan mursyid dan orang-orangnya. Aku malu. Aku kecewa. Aku mengharap. Mengharap agar suatu hari aku diberi respon oleh mursyid.

Sering tertanya-tanya apakah mursyid kenal aku? Adakah mursyid gembira dengan aku? Adakah aku hanya seperti melukut di tepi gantang? Ada tidak menambah tiada tidak pula berkurangan. Atau, adakah menurut pandangan batin mursyid aku ini lebih hina dari anjing kurap atau najis anjing?

Najis anjing mungkin lebih baik kerana ia sudah pasti tidak akan disiksa ke dalam neraka, tapi aku...?

Tuhan

Engkau yang menjadikan aku dan engkau Maha Mengetahui sebenarnya tentang aku. Aku sendiri pun tidak hanya tahu sedikit tentang diriku. Kejadian aku, ilmuku, imanku, dosaku, kesalahan aku, kelemahan aku, kekuatan aku, nasibku dan berbagai perkara yang aku sendiri pun tidak tahu hendak menyebutnya kerana  tidak mampu aku ketahui kecuali terlalu sedikit pengetahuan yang telah Engkau berikan padaku mengenai semua itu.

Tuhan, adakah sedikit belas kasihan Mu terhadap diri aku sehingga aku berpeluang menerima rahmat Mu? Aku ingin menagih kasih sayang Mu tetapi aku sendiri pun tidak tahu bagaimana dan  bagaimana caranya untuk merayu kepada Mu wahai Tuhanku. Engkau ajarkanlah aku, Engkau pimpinalah aku dan Engkau kasihanilah aku, wahai Tuhan!

Sunday, 13 September 2009

C3: Tambah minyak

Salah satu perkara yang biasa terjadi di kalangan orang Arqam pada era 80'an adalah kehabisan minyak kenderaan di dalam satu-satu perjalanan. Tidak kira kereta dan yang lebih kerap motosikal. Kalau tidak terserempak dengan kawan-kawan dalam perjalanan, biasanya kami akan menghubungi markas untuk meminta 'bantuan'. Itulah antara fenomena zaman dakwah ke hulu kehilir selain daripada menolak kenderaan kerana mengalami kerosakan atau kehabisan kuasa bateri, bateri 'kong'.

Antara yang menarik juga ialah tidak cukup duit untuk mengisi minyak. Biasanya jika guna kereta sekurang-kurangnya isi RM10.00 atau paling kurang pun RM5.00. Kadang-kadang hanya ada RM3.00. Untuk mengelakkan dari kehabisan minyak dalam perjalanan isi jugak.

Dulu isi minyak ada pembantu pam yang tolong isikan. Tak kira isi banyak atau sikit. Tak perlu turun kenderaan, bagi duit terus pembantu pam isikan sambil kita menunggu bolehlah menyandar sekejap. Tapi kalau isi RM3 mana sempar nak sandar pun. Baru pusing depan dah siap.

Biasanya kalau nak isi minyak hanya sekitar RM3 atau RM5 bagi sebuah kereta kita akan sebut,"Tambah minyak RM3 je la..." kira itu dah masuk ayat power la.

Friday, 11 September 2009

C2: Ana, anta

Masa baru-baru ikut gerakan Islam antara perkara yang sering melucukan ialah belajar membahasakan gantinama pertama dan kedua dalam bahasa Arab.

Sekarang perkara ni dah biasa dan bukan suatu yang menghairankan jika ada orang membahasakan diri dengan panggilan ana atau menggunakan gantinama kedua sebagai anta.

Sekitar awal tahun 80' hingga akhir 80'an bagi yang menyertai gerakan Islam sering bertemu orang yang tersalah menggunakan dua ganti nama ini iaitu ana dan anta.

Kami di Darul Arqam juga tidak ketinggalan. Antaranya seperti dailog berikut;

OA : "Ana nak makan mee goreng, anta nak makan apa?" Tanya orang Arqam kepada kenalan barunya sewaktu sampai di gerai makan tepi jalan. Maka berlakulah dialog seterusnya sementara menunggu peniaga mengambil pesanan....

KB : "Takpalah, ana makanlah mee goreng, anta tak mau, anta nak makan mee bandung sahajalah"

OA : "Ok lah, anta makan mee bandung, ana mee goreng, minum pulak...?"

KB :"Bukan!!!! Anta mee bandung, ana mee goreng...minum pulak anta nak sirap limau je la..."

Beginilah kecohnya suasana membahasakan diri menggunakan bahasa Arab untuk gantinama diri pertama dan kedua yang tunggang terbalik. Biasanya bila bertemu situasi begini agar sukar untuk menegur atau membetulkan kesilapan tersebut secara spontan kerana takut mengudang malu di pihak yang tersilap. Apa pun kadang-kadang tengok orang juga...ada yang selamba je dia tegur, ok jugak.

Bila bertemu semula setelah lama peristiwa ini, jika diimbau kembali pasti mencuit hati keduanya dengan disusuli gelak ketawa kerana terkenang kelucuan yang lucu itu.........

Thursday, 10 September 2009

Coretan 1

InsyaAllah mulai hari ini saya akan menitipkan satu persatu nostalgia khususnya zaman Arqam di blog ini.

Saya buat keputusan untuk bertukar ke sekolah Yayasan Al Arqam daripada SM Anderson ialah dalam bulan Ramadhan tahun 1984. Ingat sangat macam mana saya dimarahi arwah ayah kerana membuat keputusan tergesa-gesa dan tanpa ada apa perbincangan pun. Itulah 'semangat' kesedaran dakwah yang sedang meluap-luap dalam diri anak muda termasuk aku waktu itu.

Oleh kerana kononnya dah buat keputusan nak berpindah sekolah, jadi dah bawa balik siap-siap semua pakaian dan perkakas dari asrama. Kawan-kawan semua berjalan ke sekolah, saya berjalan membimbit beberapa beg besar balik kampung. Semangat tu.

Sampai di rumah, bila kena jerkah ayah apa lagi tersontot le hasrat itu. Akhirnya, beberapa hari selepas itu aku pun kembali menyua muka di SM Anderson.

Dalam bulan Ramadhan tahun 1986 kalau tak salah saya berpeluang berbuka puasa dengan Syeikhul Arqam (panggilan untuk Abuya waktu tu) di Restoran atau Mat'am Al Arqam, Tmn Tun Dr. Ismail. Masa tu Syeikhul Arqam guna Mercedes lampu besar WAF 70 berwarna Perak, begitu berwibawa. Dapat juga bersolat jemaah Maghrib dan jamak taqdim Isyak dengan diimamkan sendiri oleh Abuya. Rezeki pertama saya mengalami seperti ini.

Itulah antara kenangan-kenangan awal mengenali, mendekati, memahami dan menyelami perjuangan Darul Arqam.